Tuesday, May 31, 2011

a. Perkembangan Kognitif.
Kanak-kanak mentafsir pengalaman mengikut peringkat perkembangan mental mereka. Bukan sahaja mereka kurang berpengalaman secara kuantitatif tetapi pengetahuan mereka berbeza dari segi kualitatif. Perkembangan kognitif kanak-kanak merangkumi zaman awal kanak-kanak dan pertengahan kanak-kanak. Tetapi di sini kita hanya menitik beratkan zaman awal kanak-kanak.

Alam kognitif awal kanak-kanak atau kanak-kanak pra sekolah adalah kreatif, bebas dan imaginatif, contohnya mereka melukis manusia menyerupai orang-orangan (scarecrow). Kanak-kanak peringkat ini juga terlalu egosentrik dari segi pemikiran. Mereka melihat persekitaran mereka melalui perspektif diri mereka dan belum berupaya melihat melalui perspektif orang lain. Menurut Piaget kanak-kanak akan menggunakan konsep yang sedia ada untuk mentafsir idea atau pengalaman baru melalui proses asimilasi dan proses akomodasi iaitu apabila kanak-kanak mengubah suai konsep sedia ada kepada idea atau pengalaman baru untuk menjadi lebih bermakna.Tambah Piaget lagi, perkembangan kognitif kanak-kanak berlaku kerana proses adaptasi iaitu interaksi antara asimilasi dan akomodasi. Konsep ini menjadi lebih luas melalui asimilasi dan diubahsuai melalui akomodasi.

Jean Piaget merupakan ahli psikologi yang menyatakan kanak-kanak berfikir berbeza daripada orang dewasa. Beliau melihat pemikiran sebagai proses sedar dan memberi penekanan kepada peringkat perkembangan yang berkait rapat dengan pematangan. Menurut Piaget perkembangan kognitif kanak-kanak awal ini di beri konsep sebagai pemikiran praolahan:

i. Sejadi :

Permulaan kebolehan menyusun semula dalam pemikiran apa yang telah dibina dari segi tingkah laku, dan peralihan penggunaan simbol daripada primitif kepada yang lebih sofistikated. Belum lagi boleh berfikir dari segi olahan.

ii. Sub peringkat fungsi simbolik:

Sub peringkat ini berlaku lebih kurang pada umur 2 dan 4 tahun dan menggambarkan sifat pemikiran simbolik, egosentrik dan animisme

iii. Sub peringkat pemikiran intuitif:

Kanak-kanak berumur antara 4 dan 7 tahun. Intuitif kerana kanak-kanak kelihatan amat yakin dengan pengetahuan mereka. Tetapi tidak tahu bagaimana mereka mengetahuinya. Menyoal tidak berkesudahan dan kurang pengetahuan dari segi ketekalan.

No comments: